Wednesday 14 November 2018

PENGALAMAN BERSALIN - DIA YANG PERTAMA

Teks dan foto : Noor Azlin Muhammad


Sebelas tahun dulu, pada tarikh 16 Oktober 2007, bertukarlah status bergelar ibu.

15 Okt 2007 (3 Syawal 1428H)
Pada Hari Raya ke 3,masih belum nampak tanda-tanda si dia nak keluar. Ahli keluarga semua dah tak sabar menunggu kelahiran pertama ini. Mereka pun tak boleh tunggu lama. Masing-masing ada perancangan lain, maklumlah semua pun tinggal di luar Kelantan. Setelah dipertimbangkan, baiklah ku rela serah diri di Pusat Perubatan Annisa', Kota Bharu. Selepas doktor memeriksa kondisi ibu dan anak, semua sihat. Janin dah cukup sifat untuk keluar ke dunia. Ketika itu, saya tekad menjalani proses kelahiran secara induce.

Sementara pihak pusat perubatan menguruskan keperluan bilik, sempat lagi pergi beraya rumah terbuka seorang sahabat di Wakaf Che Yeh. Makan puas-puas sebelum berpantang. Hihi.

Selepas puas makan, daftar masuk balik.Dalam pukul 4 petang, proses induce kali pertama dan kali kedua pada malamnya. Masa ni belum rasa sakit pun. Adik-beradik datang berkampung dalam bilik. Masih boleh borak-borak, bergelak ketawa.Tapi hakikatnya, risau tuhan saja yang tahu. Tak putus-putus baca doa dipermudahkan bersalin. Sampai renyuklah kertas doa tu ku kerjakan. Tak lupa juga doa 'La ilahaillaanta subhanakainni kuntu minazzolimin'.
Sambil melayan sakit kontraksi, sempat juga tengok berita di televisyen, kisah Dr. Sheikh Muszaphar naik ke bulan.

16 Okt 2007 ( 4 Syawal 1428H )
Lebih kurang jam 3 pagi, doktor datang untuk periksa jalan lagi. Prosidur yang paling saya tak suka. Prosidur di mana doktor akan memasukkan jari ke dalam vagina/ rongga faraj untuk membaca bukaan pada serviks. Sakit dan malu wey! Haha. Tapi doktor, jururawat dan bidan yang bertugas masa itu memang baik dan lemah lembut melayan karenah mak buyung. Selepas memasukkan ubat ke tiga, barulah sakit kontraksi semakin menjadi-jadi. Tidak keruan dibuatnya. Baring, kemudian duduk, berjalan, berdiri, ulang lagi. Cuba mencari posisi selesa. Memang ku tak boleh lena semalaman. Suami yang menemani hanya mampu menenangkan, bagi kata-kata semangat. Silap cakap, percuma pula dimarah isteri yang sedang bertarung menahan sakit...Maaf  Bang!

Dalam tempoh itu, beberapa kali panggil jururawat. Bila datang periksa, belum lagi, belum lagi dan belum lagi. Sebab menurut firasat mereka, memang belum sampai masa. Baiklah, ku layan lagi kontraksi. Mundar mandir.

Pukul 7 pagi, jururawat menjengah kami, nak periksa denyutan jantung bayi katanya. Serentak itu dah rasa nak meneran sangat.Cepat-cepat mereka papah, letak di kerusi roda. Ploooppppp ! Basah kain. Ketuban pecah ke? Berteka-teki sendiri.

Maka bermulalah perjuangan di bilik bersalin.

Masuk saja labour room terkocoh-kocohlah doktor, jururawat dan bidan menyiapkan tempat dan kelengkapan. Kata doktor, cepat sangat ni. Beliau menjangkakan saya bersalin petang itu. Sepanjang proses bersalin, tak henti-henti kata semangat dari mereka. "Sikit lagi, sikit lagi! Jangan pejam mata! Jangan angkat punggung! Ok, dah nampak kepala!"

Dua tiga kali meneran, akhirnya bayi lelaki seberat 2.9 kg lahir secara normal tepat jam 8.35 pagi. Proses yang cepat dan lancar. Syukur, Alhamdulillah dipermudahkanNya.

Selepas mengazankan bayi dan pihak pusat perubatan menyiapkan kami, berehatlah si ibu yang sememangnya agak mamai sebab tak tidur semalaman, penat meneran. Namun masih mampu meraikan kunjungan sahabat taulan dan saudara mara di wad. Malamnya barulah kami discharge, pulang ke rumah.

Seronoknya masa tu, semua ahli keluarga ada dan mereka juga teruja akan kelahiran pertama saya. Esoknya, sempatlah ahli baru menyertai perhimpunan keluarga, iaitu acara wajib keluarga kami setiap kali Aidilfitri tiba.

Semasa berpantang, ramai yang bertanya, "sakit tak induce? Orang cakap sakit."
Menjawab persoalan ini, saya pun tak pasti sebab tak pernah alami kelahiran normal tanpa induce lagi. Inikan yang pertama.

Tapi setelah 3 kali pengalaman bersalin normal, bagi saya ini yang paling mudah antara semua.

Sebab dia yang pertama, pengalaman pertama. Memang susah nak lupa. Ibu coret di sini, harap tak lupa sampai bila-bila.

Adam Hadif, 16 Oktober 2007.



No comments:

Post a Comment